Wednesday, January 9, 2013

“SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN”


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 “SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN                                                              
(11 JANUARI 2013/  28  SAFAR 1434H)
Sidang Jumaat yang berbahagia,

Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN”.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Dalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan. Kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa bersikap positif dengan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa. Ini kerana segala dugaan kehidupan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Mulk ayat 2:
Bermaksud: “Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?, Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.
          Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian bahawa, agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dan berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali tercela. Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,
Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW  ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.

Jika tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:
1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah. Tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.
3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.
4. Tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.
5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.
6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.
          Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Marilah sama-sama kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Ini kerana kita adalah sebaik baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat, kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran.
          Di kesempatan ini juga, mimbar menyeru semua jemaah dan umat Islam yang sememangnya sayangkan agama dan Negara, marilah bersama-sama mengekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT. Jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian Negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini. Renungilah bersama firman Allah SWT  di dalam surah Ali-Imran  ayat 110 :
Bermaksud:Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.

ayat 6


          




Thursday, September 27, 2012

“PINTU KEREDHAAN”


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“PINTU KEREDHAAN
(28 SEPTEMBER 2012 / 11 ZULKAEDAH 1433H)

 
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk:  PINTU KEREDHAAN”.
Muslimin Yang Berbahagia,
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya:Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami. (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012 seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya. (Riwayat Ad Dailami)
          Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang ibu.
Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.  Janganlah  kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.
Muslimin Yang Berbahagia,
Bersempena dengan 1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua. Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka. Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada kedua ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang. Ingatlah bahawa ketaatan kepada kedua ibu-bapa merupakan pintu keredhaan Allah SWT di dunia ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

ayat 6











Thursday, September 13, 2012

~membina perpaduan 1 Malaysia ~


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“MEMBINA PERPADUAN 1 MALAYSIA
(14 SEPTEMBER 2012 / 27 SYAWAL 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: Membina Perpaduan 1 Malaysia”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sejak April tahun 2009 yang lalu, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu maka telah bermulalah fasa transformasi negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara. Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita. Gagasan 1 Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat. Percayalah, perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini. Lantaran itu, mimbar ingin menyatakan di sini bahawa prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras perpaduan dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah  ayat 8:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan negara Madinah. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan” (Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah” (Riwayat al-Bukhari) .
Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia agar semua kaum dapat menerimanya?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan perpaduan di Malaysia ini. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara  berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.
Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb,“ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”. Justeru, umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian. Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan. Mimbar ingin menjelaskan sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam, marilah sama-sama kita membina perpaduan di kalangan kita dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh perpaduan yang telah lama terbina dan mengadai kuasa dan maruah yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur.
Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa perpaduan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Araf ayat 96:
Maksudnya: Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

ayat 6

Wednesday, August 8, 2012


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
GANDAKAN AMALAN DI AKHIR RAMADHAN
(10 OGOS 2012 / 21 RAMADHAN 1433H)


Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah: GANDAKAN AMALAN DI AKHIR RAMADHAN”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kini kita sudah pun berada di sepuluh terakhir Ramadhan. Maka tempoh terakhir ini adalah masa bernilai dan berharga yang perlu direbut oleh kita semua bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Masa yang terakhir inilah yang akan menentukan samada puasa kita ini mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala kesalahan dan dosa yang telah kita lakukan selama ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua sekiranya kita benar-benar beriman kepada-Nya sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang awalnya di penuhi rahmat, pertengahannya di penuhi dengan keampunan dan akhirnya di penuhi dengan pahala yang menjadi penebus api neraka”. (Riwayat Muslim)

 Allah SWT telah menganugerahkan kepada hamba-Nya di dalam bulan Ramadhan satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Malam itu juga malam yang paling istimewa dalam kehidupan manusia dan malam yang terbaik bagi umat Islam kerana diturunkan al-Quran al-Karim. Kelebihan malam tersebut telah dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Qadr ayat 1-5:
Maksudnya: “ Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam lailatul Qadr itu? malam lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka. kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar ”.

Berdasarkan ayat ini, jelaslah bahawa Lailatul al-Qadar mempunyai kelebihan yang begitu besar, maka seharusnya kita berusaha dan tidak mensia-siakan peluang malam yang dijanjikan itu. Bagi orang yang beriman mereka berazam mencari peluang yang disediakan dengan berlumba-lumba untuk bangun di malam yang hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT sepertimana sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari yang terakhir pada bulan Ramadhan.” (Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW apabila berada pada 10 malam yang terakhir beliau menghidupkan malam-malam tersebut dengan melakukan ibadat sebagaimana yang diriwayatkan oleh  Saidatina Aisyah RA katanya: Sesungguhnya Nabi SAW. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, maka mimbar menyeru, marilah kita menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak kelebihannya. Lailatul Qadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehinya dan rugilah siapa yang melepaskannya.
           Di samping itu dalam fasa yang ketiga ini juga kita dituntut mempertingkatkan amal-amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid-masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan zikir-zikir, memperbanyakkan solat-solat sunat, menghadiri kuliah ataupun takzirah Ramadhan, namun perlu diingatkan bahawa takzirah Ramadhan yang dilaksanakan hendaklah bersesuaian dengan suasana jemaah. Satu lagi perkara kita dituntut melakukan sedekah samada kepada fakir miskin, anak yatim dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW di sepanjang bulan yang mulia ini tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukan. Kita juga di tuntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam Lailatul Qadar. Iaitu sepertimana yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA:
 
Maksudnya: Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang patut saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku .” (Riwayat Abu Daud)

Mengambil peluang untuk mencari keredhaan dan keampunan Allah SWT adalah merupakan amalan mereka yang beriman dan bertakwa, mereka yang tidak jemu dan berputus asa melakukannya, kerana yakin bahawa Allah SWT akan menganugerahkan kepada mereka keredhaan dan keampunan di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukan selagi mana mereka terus memohan kepada Allah SWT.
Namun, persoalannya pada hari ini apa yang diperhatikan oleh mimbar, kebanyakan dari kalangan kita bila berada dipenghujung Ramadhan, mereka sibuk dengan urusan lain seperti membuat persedian untuk menyambut hari raya. Kita melihat masjid-masjid menjadi lengang dan sepi, para jemaah solat terawih semakin berkurangan, pasaraya-pasaraya menjadi tempat tumpuan dan golongan suri rumah sibuk dengan persedian  untuk hari lebaran seperti mengemas rumah, membuat kuih muih sehinggakan ada di kalangan mereka tidak melakukan ibadat puasa kerana keletihan. Bahkan ada juga yang sanggup melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah SWT.
Mimbar ingin menyatakan bahawa suasana yang sebegini sebenarnya tidak sepatutnya dilakukan oleh kita kerana di fasa yang ketiga inilah kita mesti melipat-gandakan ibadat dengan tidak mensia-siakan peluang yang ada, kerana kita belum pasti lagi sama ada kita berpeluang atau tidak untuk terus bersama dengan Ramadhan pada tahun hadapan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengambil kesempatan sempena dengan musim cuti perayaan yang bakal menjelang tiba, mimbar ingin untuk menasihatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian supaya berhati-hati dan bersabar semasa membawa kenderaan untuk pulang ke kampung halaman. Pastikan kenderaan di servis dan berada dalam keadaan baik dan sempurna. Dalam musim perayaan ini, ibu bapa dan kaum kerabat di kampung dan penumpang dalam kenderaan mengharapkan sampai dengan selamat dan bukannya berita buruk seperti kematian atau kecacatan sepanjang hayat.
Sebagai orang yang beriman dan bertakwa, sikap banyak bersabar, mematuhi peraturan jalanraya, menjaga keselamatan diri dan orang lain, mematuhi arahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia serta agensi yang lain, akan menjadi pelengkap kepada nilai ketakwaan seseorang terhadap Allah SWT. Mudah-mudahan amalan bersabar di jalan raya dapat mengelakkan kecelakaan berlaku di saat kita ingin menyambut hari raya. Menurut sumber PDRM, punca utama kecelakaan di musim perayaan ialah kurangnya sifat sabar pemandu dan akibat kelalaian perbuatan manusia sendiri. Amalkanlah didikan Ramadhan untuk membentuk seorang insan yang bersabar di mana jua keadaannya.  
Mimbar juga berpesan semasa kita pulang cuti beraya pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan kita di rumah.Mimbar juga ingin mengambil kesempatan sempena Sambutan Hari ASEAN yang ke 45 pada 8 Ogos tahun ini, menyeru jemaah dan umat Islam sekalian untuk bersama-sama bersatu hati dan berusaha ke arah mengekalkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini khususnya di negara kita Malaysia. Walaupun kita berbeza dari segi persempadanan negara, agama, budaya, bahasa mahu pun paras rupa, namun kemajmukan masyarakat ini seharusnya di jadikan asas untuk kita saling kenal mengenali antara satu sama lain dan membangunkan kerjasama untuk kebaikan sejagat.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang diberi oleh Allah SWT pada fasa yang terakhir ini. Janganlah kita lalai dengan kesibukan mengejar dunia hingga kita lupa mempersiapkan amalan soleh sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Mudah-mudahan Ramadhan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri kita untuk menjadi insan yang bertakwa dan diredhai Allah SWT  di dunia dan di akhirat. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186:
Maksudnya: Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.

ayat 6