Friday, February 24, 2012

MASYARAKAT PERIHATIN MEMENTINGKAN SEMUA


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Januari 2006 / 27 Zulhijjah 1425

HIJRAH: Masyarakat Prihatin,

Mementingkan Semua



Ma’asyral Muslimin wa zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Marilah kita tingkatkan takwa kepada Allah dengan melaksanakan segala kewajipan terhadapNya dan juga kewajipan terhadap sesama manusia. Takwa yang demikian akan melahirkan masyarakat yang aman, tertib serta membawa kesejahteraan pada semua.


Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah hijarahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah yang penuh dengan pengajaran. Baginda memulakan usaha untuk membangunkan masyarakat di Madinah. Baginda telah menyatukan barisan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin. Usaha ini adalah bertujuan untuk membangunkan masyarakat Islam yang perihatin akan kebajikan saudaranya. Masyarakat yang perihatin akan keselamatan saudaranya dan masyarakat yang perihatin akan hal ehwal agamanya.

Dalam masa yang sama, Nabi Muhammad s.a.w sedar dan perihatin akan kewujudan masyarakat lain selain dari umat Islam. Ketika Nabi s.a.w. menetap di Madinah, tidak semua penduduknya beragama Islam bahkan masyarakat madinah merupakan masyarakat majmuk, yang terdiri daripada masyarakat Yahudi, Nasrani dan Arab. Nabi s.a.w telah membuat perjanjian dengan mereka untuk hidup dalam suasana aman,sejahtera dan penuh keadilan. peristiwa ini dikenali dengan nama ‘Piagam Madinah’ yang diterima oleh semua pihak yang terlibat.



Yang jelas disini ialah keprihatinan Nabi s.a.w. begitu mendalam sekali untuk menjamin kebebasan dan keselamatan setiap penduduk Madinah agar dapat hidup dengan penuh tenteram, selesa dan membangunkan masyarakat yang menegakkan kebaikan dan mencegah segala bentuk kejahatan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Begitulah usaha nabi besar kita Muhammad s.a.w. dalam membina masyarakat yang cemerlang. Masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri sahaja akan tetapi perihatin akan kepentingan masyrakat.  Sifat keperihatinan seperti ini amat penting dalam membina masyarakat Islam yang cemerlang. Di dalam kitab suci al-Quran terdapat ayat-ayat yang membicarakan mengenai kehidupan bermasyarakat. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya.”

Allah menjelaskan penciptaan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, bersuku dan berbangsa agar mereka saling kenal mengenal dengan lebih dekat. Seperti kata pepatah melayu “tak kenal maka tak cinta” Maka dengan kita kenal mengenal antara satu dengan yang lain akan terjalinnya sifat perihatin, peka akan keperluan saudara kita dan akan timbul lah keinginan untuk merubah nasib dan memperbaiki keadaan masyarakat kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Untuk kita memahami kepentingan sifat ini marilah kita renungkan peristiwa yang berlaku didalam masyarakat kita.

Seorang pelajar Islam  di salah sebuah sekolah nasional merupakan di antara pelajar terbaik di sekolah tersebut, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan akhlak yang baik. Namun disebalik kejayaannya dalam pelajaran dan persekolahan beliau masih lagi banyak kekurangan dari segi kerohanian.


Suatu hari beliau berjumpa seorang gurunya dan menyuarakan isi hati ingin melakukan solat, tetapi mengaku tidak tahu melakukannya. Beliau meminta diajar cara berwudhu’, cara memakai telekong dan cara mengerjakan solat.

Alhamdulillah dengan sifat keperihatinan guru ini, pelajar itu diajar dengan penuh kesabaran, Setiap kali hendak melakukan solat zohor di sekolah, pelajar itu akan mencari-cari guru tersebut untuk solat bersama. Jika tidak ada, beliau tidak solat kerana belum yakin untuk solat sendirian. Guru ini terus mendidiknya dan memberi rangsangan kepada muridnya ini untuk melakukan solat. Beliau dididik sedikit demi sedikit, akhirnya, pelajar tersebut yakin untuk solat sendirian di sekolah bahkan memahami kehendak agamanya dengan baik dan melaksanakannya dengan bijaksana.

Alangkah besarnya pahala guru yang telah mendidik anak muridnya ini. Sifat perihatin terhadap hal ehwal keagamaan anak muridnya serta merasakan dirinya bertanggungjawab untuk mendidik, walaupun bukan tugas rasminya, mampu merubah kehidupan seorang murid yang pada mulanya tidak tahu hal agamanya dan tidak tahu solat, sehingga tahu solat, pada mulanya rasa kekok dan malu untuk solat kemudian berkeyakinan untuk bersolat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Inilah sikap perihatin yang mampu mengubah masyarakat kita. Kita tidak boleh hanya berdiam diri apabila kita melihat masyarakat kita mundur terutama sekali dalam hal keagamaan mereka. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kita melihat anak-anak kita hanyut dan tidak berakhlak. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kita lihat saudara ktia tersimpang dari jalan kebenaran.

Tetapi apakah yang boleh kita lakukan? Apakah cukup kita merasakan perihatin dan tidak melakukan apa-apa? Apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk kebaikan masyarakat kita?

Dalam hal ini, Allah s.w.t telah menyifatkan bahawa umat yang cemerlang ialah umat yang mengamalkan “amar ma’aruf dan nahi mungkar” atau mengajak pada kebaikan dan menghalang kemungkaran” Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 110:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Maka perkara pertama yang boleh kita melakukan ialah mengamalkan Amr ma’aruf dan nahi mungkar. Kita menggalakkan masyarakat kita untuk melakukan segala macam kebaikan. Dalam masa yang sama kita perlu juga menegah segala kemungkaran.

Dalam usaha kita untuk  mengamalkan amar ma’aruf nahi mungkar kita perlu bijak dalam melaksanakannya. Apa yang dimaksudkan disini ialah kita sebagai masyarakat Islam cemerlang bukan sahaja perihatin dengan keadaan akan tetapi perlu bijak dalam menangani masalah kita.

Seperti kisah guru yang mendidik anak muridnya solat. Beliau dengan perlahan dan dengan menunjukkan contoh tauladan mendidik muridnya sehingga berjaya. Ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Begitulah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang menyumbang pada kebaikan untuk manusia sejagat. Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang  bijak serta berakhlak mulia. Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang memahami kehendak agamanya serta memaparkan Islam yang sebenar, Islam yang membawa kesejahteraan pada semua. 

Semoga dengan kedatangan tahun hijrah yang baru ini kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri dan menyumbang seberapa yang mampu untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.


  




MENGAWAL PINTU NAFSU


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
 “MENGAWAL PINTU NAFSU”
(17 FEBRUARI 2012 / 24 RABIULAWAL 1433H)

MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bersempena dengan perhimpunan kita untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita beroleh kebahagian di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang kekal abadi, insya-Allah.Tajuk khutbah pada hari ini ialah: MENGAWAL PINTU NAFSU.
MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Dalam kekecohan kita mendengar berita anak-anak muda masa kini terbabit dalam kegiatan maksiat yang berkaitan dengan seks bebas dan rambang maka penyelesaian yang diajar oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan adalah disebabkan kegagalan benteng dirinya untuk mengawal nafsu seks yang memuncak. Budaya berzina terus menjadi isu panas kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, kegiatan GRO, Rumah urut, kelab-kelab malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali jika dilakukan oleh mereka yang belum pernah berkahwin. Hukuman keras yang dikenakan oleh Islam ini amat tepat kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.
Pada hari Jumaat yang mulia ini mimbar mengingatkan bahawa pergaulan bebas adalah punca utama penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton video lucah, filem yang menghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada perzinaan. Termasuk juga mereka yang bukan muhrim berdua-duan di tempat yang sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.

Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu menuju perzinaan, sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak dengan amalan perzinaan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun hawa nafsu hendaklah disalurkan secara halal iaitu melalui perkahwinn yang sah. Hadith dari Muslim meriwayatkan Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah, dan menghalang yang munkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami isteri juga adalah sedekah”. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah,“ adakah kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala?. Rasulullah bersabda “ Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah berpahala.
Para sahabat RA apabila mendengar sabda Rasulullah SAW itu agak terkejut kerana mereka tidak terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun segera menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala.Rasulullah SAW menjelaskan dengan mudah, ‘jika seseorang melakukan zina maka mereka berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan yang halal bagi menghindarkan dari melakukan zina. Jika orang yang berzina itu menerima padah masuk neraka maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan menpunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumus ke lembah maksiat. Berdasarkan kepada pandangan ahli-ahli fiqh dan hadith Rasulullah SAW bahawa mereka yang berkemampuan dari segi zahir dan batin hendaklah mendahulukan perkahwinan dari ibadah yang lain kerana dikuatiri maksiat akan berlaku pada dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu penghalang baginya daripada syahwat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim). Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan al-Shafie golongan pemuda yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut ialah mereka yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun. Penekanan kepada usia ini kerana ianya berada pada peringkat segala-gala memuncak kecuali kematangan. Kebiasaan pada peringkat umur ini, nafsunya tinggi, semangatnya kuat, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di dalam pelbagai perkara namun malangnya kebanyakan perhitungan mereka itu singkat belaka.
Justeru berdasarkan kepada tuntutan kehidupan ini, mimbar menyeru kepada ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang seusia sebegini memberi perhatian kepada keperluan mereka. Ingatlah bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan sirah Rasulullah  SAW bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah atau kenduri kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran. Begitu juga kepada pihak berkuasa agar dipermudahkan segala urusan bagi pasangan yang telah mencukupi segala syaratnya demi menutup segala pintu  kemaksiatan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Mimbar ingin berpesan kepada jemaah dan umat Islam sekalian, apabila seseorang itu berkemampuan membina rumah tangga maka hendaklah ianya bersegera bernikah. Perkataan al-nikah itu sendiri sebenarnya daripada lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka pasangan suami isteri dalam bentuk yang diizinkan syarak. Justeru, tekanan perasaan keinginan dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya”(Riwayat Muslim). Oleh itu dengan kewujudan pasangan yang sah dapatlah memelihara larangan Allah SWT dari segala kemungkaran yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata serta dapat mengawal pintu nafsu.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian terutama kepada ibu-bapa marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati gerak geri anak-anak samaada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya, dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sebagainya. Jadikanlah hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa di rahmati Allah SWT. Ingatlah bahawa Islam mengharamkan penzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan secara yang sah. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Ruum, ayat 21:
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.
ayat 6



SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH
(24 FEBRUARI 2012 / 2 RABIUL AKHIR 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Menurut sumber yang diambil dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bagi bulan Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru di kesan dalam masa sebulan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar berlakunya jenayah seperti mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi adalah berpunca daripada dadah. Ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran yang waras merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat 195 :
bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23 November 2006 memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ekstasy dan ketamin, hukumnya adalah haram. Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakkan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan  ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakkan akibat dadah tidak terhad hanya pada seorang individu yang menjadi penagih sahaja akan tetapi kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara -mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah. Maka amat wajar sekali mimbar menyeru seluruh umat Islam, ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala jenayah.  Mimbar mengingatkan bahawa pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam usaha memerangi jenayah dan kemungkaran. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:
Maksudnya:Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Berdasarkan hadith ini, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang  usaha ini ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:
Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Mimbar ingin mengingatkan kepada penegak-penegak jenayah dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.  Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89:
Maksudnya:Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.

Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut  ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah  SWT mengutus berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi mereka yang terlibat dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:
Maksudnya:Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.

Mereka yang yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segalanya perbuatan itu di saat kematian. Masyaallah.
Muslimin Yang Dikasihi Allah,
Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu  ummah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya. Sebagai ibu-bapa mimbar menyeru ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka dengan cara hidup yang sihat. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratul maut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar. Marilah kita memperbanyakkan beristiqfar semuga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenug firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:
bermaksud: Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua,Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.