Thursday, March 15, 2012

“SERUAN AL- BARZAKH"


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
  SERUAN AL- BARZAKH                                                              
(16 MAC 2012 / 23RABIULAKHIR 1433H)

Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: SERUAN AL-BARZAKH”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya  mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para Nabi, Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan, bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.  Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Yang bermaksud: Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.

          Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار الصحاح) oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud   dinding pembatas antara dua benda.  Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia. Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras). (Riwayat al-Tirmizi). Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya .
Ketika khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Tentu jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh tuhanku.
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna Ali RA pernah berkata, bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak”.
Kesibukan mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, arak,  pengamal seks bebas sanggup melakukan apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian. Justeru mimbar menyeru kepada jemaah sekalian insaflah dan sedarlah tentang kehidupan yang sebenarnya dan jangan kita lalai dari mengingati kematian kerana ianya akan menambah lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian  (Riwayat Muslim)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru insaflah dan sedarlah bahawa kematian merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali  lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, cuma persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini. Sebagai renungan marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
Maksudnya : Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).


ayat 6

Friday, March 9, 2012

~ANCAMAN AQIDAH UMAT ISLAM~


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ANCAMAN AKIDAH UMAT ISLAM
(9 MAC 2012 / 16 RABIULAKHIR 1433H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: Ancaman  Akidah Umat Islam”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Perbezaan pendapat dikalangan umat Islam dalam cabang syariah atau  perundangan Islam dianggap sebagai satu rahmat kerana di sebalik perselisihan pendapat ini telah membawa satu pertemuan, perbincangan dan perbahasan di antara alim ulama yang pakar dalam bidang tersebut sehingga satu keputusan dapat dibuat. Walaubagaimanapun perbezaan pendapat di dalam bidang akidah dan usul syariah lebih cenderung kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan umat dan dikuatiri dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Persoalan besar timbul kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar antara perkara yang  menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang berpecah belah mengikut kumpulan tertentu, ta’asub kepada kepimpinan tertentu sehingga tidak dapat menilai kebenaran dan kepalsuan. Mimbar percaya kesan daripada perpecahan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, meruntuhkan umat dan boleh membawa kekufuran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang-orang Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, satu golongan daripada mereka itu di dalam syurga dan tujuh puluhnya di dalam neraka. Orang-orang Nasara pula berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, tujuh puluh satu mereka di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga.Demi tuhan yang diri Muhammad berada dalam tangan kekuasaannya, benar-benar umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, satu golongan berada di dalam syurga, dan tujuh puluh dua daripada mereka di dalam neraka. Baginda di tanya siapakan  mreka yang masuk syurga itu, jawab baginda Jamaah.(Riwayat Ibn Majah)
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik baik secara i’tiqad atau tingkahlaku. Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat . Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 19:
Bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85:
Bermaksud:Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi

Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Dalam era masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian mimbar, gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan anggota keluarga terutamanya ibu-bapa sebagai ketua keluarga sedangkan dialah yang paling utama dalam mendidik anak-anak kepada penghayatan ajaran dan akidah Islam.
Akhir-akhir ini kita juga dikejutkan dengan gerakan golongan yang berfahaman Syiah. Kumpulan Syiah yang wujud di negara kita merupakan satu kolompok pecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% dari seluruh umat Islam di dunia. Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada para pelajar di universiti dan menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah ke seluruh pelusuk tempat di negara kita.
Justeru, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar lagi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:
Bermaksud: Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim

Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus. Ingatlah bahawa tubuh badan kita diibaratkan seperti gelas kosong. Jika kita tidak memenuhi gelas  itu dengan amal soleh maka gelas tersebut akan dipenuhi nafsu syaitan yang akan menguasai diri kita dan mendorong kita melupai Allah SWT. Pengaruh syaitan dalam diri manusia inilah menyebabkan manusia mengalami penyakit rohani keruntuhan akhlak serta akidah.
Di samping itu, umat Islam perlulah juga membina kekuatan dari sudut ilmu, teknologi, politik dan sebagainya. Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat. Sebagai Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:
Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.       
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa akidah umat Islam. Ingatlah bahawa negara kita terkenal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman sehingga masa kini. Ternyata disebabkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah di kalangan Umat Islam maka, perpaduan Umat Islam di Malaysia dan rantau Alam Melayu terus berkedudukan aman dan makmur, tanpa berlakunya pertumpahan darah sejak berabad yang lalu. Oleh yang demikian, sebarang usaha ke arah penyimpangan daripada ajaran tersebut akan membawa kepada perpecahan dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan menghancurkan Islam dan menyebabkan mudah di tawan oleh musuh Islam. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT. Akhir sekali marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:
Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.

ayat 6

Saturday, March 3, 2012

~AWAS JERAT VALENTINE~



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

  MENANGANI BUDAYA SONGSANG 
(2 MAC 2012 / 9 RABIULAKHIR 1433H)


Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: MENANGANI BUDAYA SONGSANG.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Akhir-akhir ini kita dapati usaha-usaha terancang pihak-pihak tertentu bertujuan untuk mencabar dan menggugat kedaulatan Islam sebagai agama negara ini semakin giat dan menular dengan hebat. Ia bukan sahaja digerakkan oleh kelompok-kelompok tertentu dalam negara dengan kemudahan dan sokongan media baru, malah gerakan ini juga mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa. Dalam kita bergelut menghadapi pelbagai permasalahan yang melanda umat Islam sama ada dari sudut kesatuan dan perpaduan, keruntuhan akhlak dan kelunturan nilai, keruntuhan iman dan kegoyahan keperibadian serta berbagai bentuk gejala sosial yang menggerunkan, umat Islam juga berhadapan dengan suatu bentuk pemikiran baru yang memuja segala bentuk kebebasan secara melampau hatta dalam budaya atau orientasi seks pun mereka tidak mahu terikat dengan cara tabi’i manusia.
Gerakan untuk mencabar keutuhan kesusilaan masyarakat timur yang berteraskan ajaran Islam yang bersifat syumul ini, dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan-perhimpunan yang mempromosikan budaya hidup bebas termasuk orientasi seks bebas secara melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia (HAM) dan perjuangan anti-diskriminasi yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu. Pada 17 Jun 2011, Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan satu resolusi berkenaan apa yang didakwa sebagai pencabulan hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti gender. Apa yang menjadi kebimbangan besar kita ialah kemudaratan yang akan diakibatkannya terhadap kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia. Sesungguhnya resolusi ini terhasil daripada tafsiran yang dangkal dan bertentangan sama sekali dengan  fitrah seksual manusia, norma-norma kehidupan beradab serta menafikan peranan ajaran agama. Pada masa yang sama, ia menafikan pengaruh agama dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Penganjuran program-program seperti Seksualiti Merdeka yang sebenarnya sudah pun bermula sejak tahun 2008 yang bertujuan memupuk kesedaran dan memperjuangkan hak golongan yang mengamalkan orientasi seks dan memiliki identiti gender yang berbeza, iaitu lesbian, gay, biseksual, seks songsang dan beberapa kelompok seks songsang yang lain. Perjuangan atau gerakan seumpama ini pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. Di Negara ini kempen Seksualiti Merdeka telah mendapat bantahan secara besar-besaran dan akhirnya berjaya dihalang pelaksanaannya. -Alhamdulillah kita dapat menarik nafas lega buat seketika dengan rasa syukur tidak terhingga. Namun, larangan penganjuran program tersebut tidak meninggalkan sebarang kesan, peringatan, mahupun pengajaran apatah lagi kesedaran terhadap pihak penganjur. Malah mereka telah mengambil tindakan susulan dengan memajukan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dakwaan diskriminasi terhadap golongan minoriti ini, dan mengheret negara untuk memberikan penjelasan kenapa hak “kelompok” ini dinafikan.
Amalan cara hidup sebagai lesbian, gay dan dwiseksual sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan normal agama dan moral di negara kita. Dalam Islam amalan tersebut  adalah diharamkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa besar. Firman Allah SWT di dalam surah al-Aa’raf ayat 80 hingga 81:
Yang bermaksud: Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini {81} Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Ibn majah yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut (Riwayat Ibn Majah). Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Allah SWT melaknat sesiapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Riwayat Ibn Abas)
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Penyertaan Malaysia dalam sesi persidangan ke19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang akan berlangsung mulai 5 Mac 2012 di Geneva, Switzerland merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Meneliti tindak balas serta tingkah laku kumpulan yang memperjuangkan hak-hak seks songsang, proses ini bakal dijadikan landasan bagi NGO-NGO HAM tempatan bagi mengambil kesempatan untuk terus mengelirukan dan mendatangkan kehancuran terhadap masyarakat. Hal ini khususnya melalui tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia untuk tunduk dan mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai “international standards and laws” bagi membenarkan amalan orientasi seksual dan identiti gender yang songsang serta bertentangan dengan syariah Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini, dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Mimbar ingin memperingatkan kepada perwakilan negara, bantahan mesti diberikan terhadap usaha-usaha yang melatari hasrat untuk melaksanakan Resolusi PBB tersebut. Manakala bagi rakyat atau masyarakat umum, mereka bertanggungjawab menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya bukan sahaja terhadap Resolusi PBB tersebut, tetapi terhadap sebarang usaha untuk mengetengahkan orientasi seks songsang ini sebagai suatu cara hidup masyarakat Malaysia.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Meneliti maksudnya yang terkandung dalam ajaran Islam, jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang diperjuangkan sebagai “hak” mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian dengan fitrah insan. Dengan kata lain, perjuangan menuntut hak bagi golongan yang mengamalkan orientasi seks di luar tabi`e sekali gus terbatal kerana ia mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan naluri murni manusia. Malah, ia sebaliknya mendatangkan kemudaratan, musibah, mala petaka, dan kehancuran terhadap segenap aspek dalam masyarakat.
Orientasi seks luar tabi`e yang diamalkan oleh golongan ini bukan sahaja dilarang dan dikecam keras oleh agama Islam tetapi juga oleh agama-agama lain seperti Yahudi, Kristian, Buddha, dan Sikh. Dengan mengambil kira keadaan ini, maka perjuangan golongan ini bagi mengamalkan orientasi seks menurut kecenderungan mereka pasti bertentangan pula dengan prinsip rukun negara, khususnya yang pertama, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan yang merujuk kepada agama yang menjadi anutan rakyat negara ini. Selain itu, ia juga bertentangan dengan keempat-empat prinsip rukun negara yang lain, seperti Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Muslimin Yang di Rahmati Allah
Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup yang menjijikkan itu. Hal ini kerana salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh khususnya umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:
Yang bermaksud: Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Marilah bersama-sama kita mempertahankan kebenaran, rapatkan barisan, meneguhkan kekuatan dan persediaan, menggerakkan segala usaha dengan penuh keberanian, dan menghancurleburkan cita-cita serta perancangan jahat kelompok pejuang hak asasi songsang ini. Perjuangan bagi membantu agama dan menegakkan agama Allah merupakan perjuangan yang suci yang dijamin akan dikurniai bantuan-Nya. Justeru, Mimbar ini mengesa agar kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata dunia ditangani secara berkesan. Hal ini termasuklah dengan mengambil tindakan undang-undang secara serius sekiranya mereka bergantung pada pembiayaan pihak luar bagi mencemar nama baik dan kedaulatan negara.
Begitu juga perlu disedari oleh semua pihak termasuk yang bukan Islam, bahawa kedaulatan agama Islam sebagai agama negara mesti dihormati secara jujur. Sebarang usaha mencemar dan menghina agama Islam sebagai agama negara mesti dihentikan bagi menjamin kelangsungan kehidupan harmoni rakyat negara ini sebagaimana yang telah kita persetujui bersama semasa mula terbentuknya negara ini dan Perlembagaannya.

ayat 6