Thursday, September 27, 2012

“PINTU KEREDHAAN”


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“PINTU KEREDHAAN
(28 SEPTEMBER 2012 / 11 ZULKAEDAH 1433H)

 
Muslimin yang dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk:  PINTU KEREDHAAN”.
Muslimin Yang Berbahagia,
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya:Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami. (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012 seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya. (Riwayat Ad Dailami)
          Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang ibu.
Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.  Janganlah  kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.
Muslimin Yang Berbahagia,
Bersempena dengan 1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua. Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka. Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada kedua ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang. Ingatlah bahawa ketaatan kepada kedua ibu-bapa merupakan pintu keredhaan Allah SWT di dunia ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

ayat 6











Thursday, September 13, 2012

~membina perpaduan 1 Malaysia ~


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“MEMBINA PERPADUAN 1 MALAYSIA
(14 SEPTEMBER 2012 / 27 SYAWAL 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, maka mimbar yang mulia akan membincangkan khutbah bertajuk: Membina Perpaduan 1 Malaysia”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sejak April tahun 2009 yang lalu, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu maka telah bermulalah fasa transformasi negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan negara. Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita. Gagasan 1 Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat. Percayalah, perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini. Lantaran itu, mimbar ingin menyatakan di sini bahawa prinsip keadilan sosial yang menjadi salah satu teras perpaduan dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah  ayat 8:
Maksudnya: Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan!.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan 1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan negara Madinah. Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan” (Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah” (Riwayat al-Bukhari) .
Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Persoalan besar timbul bagaimanakah untuk merealisasikan Gagasan 1 Malaysia agar semua kaum dapat menerimanya?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada pembinaan perpaduan di Malaysia ini. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara  berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143:
Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.
Berdasarkan ayat ini, Ummatan wasata telah diterjemahkan sebagai umat pertengahan iaitu umat yang adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat sekaligus seimbang dalam seluruh aspek kehidupan. Ia menggambarkan umat Islam yang telah dijelaskan oleh Allah SWT sebagai manusia yang adil dan boleh menjadi saksi terhadap seluruh perbuatan manusia. Mengikut pandangan Sayyed Qutb,“ Umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal, iaitu berada di tengah-tengah”. Justeru, umat Islam dituntut untuk mengseimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat. Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian. Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan. Mimbar ingin menjelaskan sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, mimbar menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam, marilah sama-sama kita membina perpaduan di kalangan kita dan bertoleransi dalam semua perkara serta janganlah kita melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampau sebenarnya akan menjadi pemangkin terhadap ketidaksepaduan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara. Mimbar ingin berpesan usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuh perpaduan yang telah lama terbina dan mengadai kuasa dan maruah yang ada. Ingatlah bahawa umat Islam yang menjiwai makna perpaduan adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka dan saling menghormati antara satu sama lain. Sedarlah, kita tidak mempunyai tempat lain selain tanah air dan tanah tumpah darah kita yang menjadi tempat tinggal, punca rezeki, dan nadi kehidupan kita. Janganlah ada di kalangan rakyat bersikap mementingan diri sendiri sehingga keharmonian di negara kita terancam, retak dan hancur.
Sekali lagi mimbar mengingatkan bahawa perpaduan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Pendekatan ini wajar diteruskan kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Semoga Malaysia yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta pelindung kepada Islam dan umatnya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Araf ayat 96:
Maksudnya: Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

ayat 6