Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia
“ RAPUH IMAN RUNTUH PERPADUAN ”
( 27 APRIL 2012/ 05 JAMADILAKHIR
1433H )
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala
suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan
ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai: “ RAPUH IMAN RUNTUH PERPADUAN ”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sistem moral dan etika
adalah salah satu daripada sistem yang mempengaruhi kehidupan manusia dan
mencerminkan keimanan seseorang. Peraturan yang digariskan dalam sistem moral dapat
mempengaruhi lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan.
Sejarah membuktikan betapa keruntuhan sistem moral akan menghakis ketamadunan
yang dibina, tidak kiralah bertapa hebatnya tamadun tersebut. Di dalam al-Quran
Allah SWT telah menceritakan bagaimana satu umat itu ditimpa bala bencana yang
amat dahsyat hanya disebabkan kebejatan moral, kelemahan iman dan menularnya
budaya hidup songsang. Lihat sajalah bandar Sodom yang didiami umat Nabi Lut
satu ketika dulu telah dihempas ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur
dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang. Firman Allah SWT di dalam surah al-Aa’raf ayat 80 hingga 81:
Yang bermaksud: “Dan Nabi Lut
ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang
tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini {81} Sesungguhnya kamu
mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini
adalah kaum yang melampaui batas.”
Mimbar ingin menyatakan bahawa amalan cara hidup songsang
sebagai lesbian, gay dan dwiseksual sebenarnya bertentangan dengan
undang-undang dan normal agama dan moral di negara kita. Dalam Islam amalan
tersebut adalah di haramkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa
besar. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Ibn majah yang bermaksud: Sesungguhnya
yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut (Riwayat Ibn
Majah) . Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Allah SWT melaknat
sesiapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Riwayat Ibn Abas)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Gerakan untuk
mencabar keutuhan moral dan kesusilaan masyarakat yang berteraskan ajaran Islam
yang bersifat syumul ini, dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran
demonstrasi dan perhimpunan-perhimpunan yang mempromosikan budaya hidup songsang
dan bebas termasuk gerakan LGBT secara melampau oleh kumpulan-kumpulan yang
bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia dan perjuangan anti-diskriminasi yang
dipelopori oleh NGO-NGO tertentu. Penganjuran program-program seperti
Seksualiti Merdeka pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular
yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau
budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. Apa yang
menjadi kebimbangan besar kita ialah kemudaratan yang memberi kesan terhadap
kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia.
Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kehidupan bermoral dan
perpaduan umat Islam serta keamanan negara diantaranya melalui pencemaran
budaya, gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah perpaduan samada
melalui media massa dan alam siber dan melanggari undang-undang negara.
Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam
sekalian bahawa di dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak,
bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah
ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang
digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali
bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan
umum. Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak mestilah sesuatu yang tidak sama
sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian
dengan fitrah insan serta tidak
mendatangkan kemudaratan, musibah, mala petaka, dan kehancuran terhadap
segenap aspek dalam masyarakat.
Justeru, sebagai umat Islam diseru agar tidak bersama
dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka.
Marilah sama-sama kita mempertahankan tanah air kita ini dari merebaknya budaya
songsang, berlakunya kekacauan, marilah sama-sama kita berganding bahu,
bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka
ini untuk menggugat moral kehidupan, keharmonian dan keamanan negara dapat
digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan
pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka
tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia
mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah
(menetapkan yang demikian)? Dan
(ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Di tangan
kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan
kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup
yang menjijikkan itu. Berdasarkan
maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk
menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar
ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat
Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada
kebaikan dan menghalang kemungkaran Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj
ayat 41:
Bermaksud: “Iaitu mereka yang jika
Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta
melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah
kesudahan segala urusan. ”
Mengakhiri
khutbah pada hari ini, mimbar mengesa agar kumpulan-kumpulan yang sengaja
mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata
dunia ditangani secara berkesan. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip
yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan
pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari
godaan syaitan yang menyesatkan. Kita berdoa kepada
Allah SWT agar mereka yang terpengaruh dengan golongan ini diberi keinsafan dan
berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan
nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh
menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa
dan negara.
Firman Allah dalam Surah al-Anfaal ayat 46:
Maksudnya: “Dan
taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan;
kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan
sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.”