Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“SERUAN AL- BARZAKH”
(16 MAC 2012 / 23RABIULAKHIR 1433H)
Muslimin yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang
mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah
sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi
keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar
pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “SERUAN AL-BARZAKH”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai seorang Islam
yang berpegang kepada al-Quran dan hadith, kita mempercayai bahawa kehidupan,
kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib
dilalui oleh semua manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur
manusia melebihi 100 tahun tetapi puratanya
mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun . Umur pendek atau panjang tidak
menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat
seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan
dunia fana ini. Malah para Nabi, Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan tuhan,
bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari dari
kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78:
Yang bermaksud: “ Di mana sahaja kamu berada,
pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau
benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna
manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah, maka pastilah
ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan
mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat
dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil berlaku
pada diri manusia kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah
dan roh telah keluar dari badan manusia. Rohlah yang menyebabkan kita hidup, boleh
mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (مختار
الصحاح) oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud dinding
pembatas antara dua benda. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa
al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam
Barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum
dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam
Barzakh juga tempat permulaan manusia di hukum segala amalannya di dunia. Sebagaimana
kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga
sekali lagi menghadapi kesukaran siksaan kubur di alam barzakh. Sebaik sahaja ahli
keluarga dan sahabat handai selesai mengkebumikan dan dalam perjalanan pulang
ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan
Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah. Bagi jenazah yang beriman dan
berbekalkan amal soleh serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah
suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban
dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri
yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka
berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya
seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya
akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas)
daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar
(keras).” (Riwayat
al-Tirmizi). Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “ setiap
mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur
memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu
hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu.
Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa
memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan
derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Renungkanlah bagaimana perjalanan
seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “
Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam
kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang
kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke
dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu
yang kini telah dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini
matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah
telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur
terbenam.” Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula pernah berkata kepada beberapa
orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau telah melepasi
satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang alam kubur dan penghuninya?
Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani
mendekatinya .”
Ketika khalifah Umar mengiringi
jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “ Wahai Umar bin
Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan
terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku
akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku
kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota
badannya? Tentu jawab Umar. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke
tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut
pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya.aku cabut lutut itu dari betis.
Dari betis menuju ke telapak kakinya. Khalifah Umar menangis dan berkata.” Ketahuilah
sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan.
Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang
tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat
maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh
tuhanku.
Mimbar
mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini,
semakin kurang atau amat sedikit dari kalangan manusia yang bercakap tentang
kematian, alam berzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan
kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka
terkejut besar apabila malaikat Izrael datang dengan mencabut nyawanya. Saididna
Ali RA pernah berkata, “ bahawa manusia tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari
tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam
keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian
datang secara mendadak”.
Kesibukan
mencari keseronokan dan kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kelalaian
manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi kematian. Sebagai
contoh mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti penagihan dadah, arak,
pengamal seks bebas sanggup melakukan
apa saja termasuk mengambil ubat-ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan-bahan
terlarang bagi menambah lagi nikmat keseronokan. Perbuatan ini seolah-olah
mengali lubang kubur sendiri. Mereka ini akan menanggung siksaan hidup dengan
penyakit-penyakit kronik yang akhirnya membawa kepada kehancuran dan kematian. Justeru
mimbar menyeru kepada jemaah sekalian insaflah dan sedarlah tentang kehidupan
yang sebenarnya dan jangan kita lalai dari mengingati kematian kerana ianya
akan menambah lagi ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Ziarahilah
kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri
khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru insaflah dan sedarlah bahawa kematian
merupakan perjalanan hidup yang tidak akan kembali lagi ke dunia yang fana ini. Kita sering
bercakap tentang kematian rakan dan sahabat kita yang telah kembali menyahut
seruan Ilahi. Bagaimanapun sayang sekali apakah kematian rakan-rakan kita itu
telah menimbulkan keinsafan dan kesedaran untuk kita membuat persiapan serta
menyediakan bekalan yang mencukupi menghadapi kematian yang pasti itu. Ingatlah
dan sedarlah bahawa alam barzakh sentiasa menanti-nanti kehadiran kita dan
sentiasa membuka pintunya untuk kita. Tidak kira di mana kita berada atau bila
masanya kematian pasti mendatangi dan menjemput diri kita, cuma persoalannya
adakah kita sudah bersedia menghadapi kematian ini. Sebagai renungan marilah
sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:
Maksudnya : “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu,
tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah)
yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada
kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). ”