Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
"AWAS
JERAT VALENTINE"
(10
Februari 2012 / 17 Rabiulawal 1433H)
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan
menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita
bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala
perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “AWAS
JERAT VALENTINE”.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Fenomena
sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai
perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama
kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger,
perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang
Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata
ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod
dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika
seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”,
maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu
perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini
kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama
dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan
kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama telah menyatakan bahawa
menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan
Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan
ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005
memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh
Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah
bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Oleh itu,
mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman
dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti
trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di
dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi
keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah
sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya
bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan
akhlak umat Islam.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Persoalan
besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus
berlaku?. Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan
kekaburan kita di dalam
menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang
muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga
jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk
terus menyesatkan orang yang beriman.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan
memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah
telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan
sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari
Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".
Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan
pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan
tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut
contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya sekadar mengumumkan identiti diri dan
melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara
keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah
SWT dan meninggalkan tegahan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman
ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada
jalan Allah; mereka itulah orang yang benar. ”
Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan
dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang
itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh
itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan
ummah.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam sebagai
agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya.
Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan
oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada
batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina
berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat
dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat,
akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam
menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai
dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah
bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan
berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan
cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup
berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat
207:
Bermaksud:
“ Dan di antara manusia ada Yang
mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula
amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.”
Justeru bagi menyelamatkan agama dan
ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah
dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day
dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita
terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan.
Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa
benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang
menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu
ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita
memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama,
ummah dan negara dengan langkah berikut:
Pertama: ibu
bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang
sebenar;
Kedua: umat
Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga: menanam
rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat: menjauhi
aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis
tertentu; dan
Kelima: meninggalkan
sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.
Firman
Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."
No comments:
Post a Comment