Friday, March 9, 2012

~ANCAMAN AQIDAH UMAT ISLAM~


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“ANCAMAN AKIDAH UMAT ISLAM
(9 MAC 2012 / 16 RABIULAKHIR 1433H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertakwa kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang mulia ini akan membincangkan tajuk: Ancaman  Akidah Umat Islam”.
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Perbezaan pendapat dikalangan umat Islam dalam cabang syariah atau  perundangan Islam dianggap sebagai satu rahmat kerana di sebalik perselisihan pendapat ini telah membawa satu pertemuan, perbincangan dan perbahasan di antara alim ulama yang pakar dalam bidang tersebut sehingga satu keputusan dapat dibuat. Walaubagaimanapun perbezaan pendapat di dalam bidang akidah dan usul syariah lebih cenderung kepada malapetaka yang boleh memecah-belahkan umat dan dikuatiri dapat melemahkan perpaduan dan akidah umat Islam. Persoalan besar timbul kenapa perkara ini berlaku kepada umat Islam?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar antara perkara yang  menyebabkan berlakunya ialah sifat umat Islam sendiri yang berpecah belah mengikut kumpulan tertentu, ta’asub kepada kepimpinan tertentu sehingga tidak dapat menilai kebenaran dan kepalsuan. Mimbar percaya kesan daripada perpecahan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, meruntuhkan umat dan boleh membawa kekufuran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang-orang Yahudi berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, satu golongan daripada mereka itu di dalam syurga dan tujuh puluhnya di dalam neraka. Orang-orang Nasara pula berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, tujuh puluh satu mereka di dalam neraka dan satu golongan di dalam syurga.Demi tuhan yang diri Muhammad berada dalam tangan kekuasaannya, benar-benar umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, satu golongan berada di dalam syurga, dan tujuh puluh dua daripada mereka di dalam neraka. Baginda di tanya siapakan  mreka yang masuk syurga itu, jawab baginda Jamaah.(Riwayat Ibn Majah)
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik baik secara i’tiqad atau tingkahlaku. Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat . Firman Allah SWT dalam surah Ali- Imran ayat 19:
Bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85:
Bermaksud:Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi

Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Dalam era masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian mimbar, gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan anggota keluarga terutamanya ibu-bapa sebagai ketua keluarga sedangkan dialah yang paling utama dalam mendidik anak-anak kepada penghayatan ajaran dan akidah Islam.
Akhir-akhir ini kita juga dikejutkan dengan gerakan golongan yang berfahaman Syiah. Kumpulan Syiah yang wujud di negara kita merupakan satu kolompok pecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% dari seluruh umat Islam di dunia. Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada para pelajar di universiti dan menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah ke seluruh pelusuk tempat di negara kita.
Justeru, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar lagi kufur. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:
Bermaksud: Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim

Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam. Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus. Ingatlah bahawa tubuh badan kita diibaratkan seperti gelas kosong. Jika kita tidak memenuhi gelas  itu dengan amal soleh maka gelas tersebut akan dipenuhi nafsu syaitan yang akan menguasai diri kita dan mendorong kita melupai Allah SWT. Pengaruh syaitan dalam diri manusia inilah menyebabkan manusia mengalami penyakit rohani keruntuhan akhlak serta akidah.
Di samping itu, umat Islam perlulah juga membina kekuatan dari sudut ilmu, teknologi, politik dan sebagainya. Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat. Sebagai Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:
Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.       
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa akidah umat Islam. Ingatlah bahawa negara kita terkenal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman sehingga masa kini. Ternyata disebabkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah di kalangan Umat Islam maka, perpaduan Umat Islam di Malaysia dan rantau Alam Melayu terus berkedudukan aman dan makmur, tanpa berlakunya pertumpahan darah sejak berabad yang lalu. Oleh yang demikian, sebarang usaha ke arah penyimpangan daripada ajaran tersebut akan membawa kepada perpecahan dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan menghancurkan Islam dan menyebabkan mudah di tawan oleh musuh Islam. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT. Akhir sekali marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:
Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.

ayat 6

No comments:

Post a Comment