Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia
“MENGAWAL PINTU NAFSU”
(17 FEBRUARI 2012 / 24 RABIULAWAL 1433H)
MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bersempena dengan perhimpunan
kita untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini marilah sama-sama kita bertakwa kepada
Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita beroleh
kebahagian di dunia dan kesejahteraan di akhirat yang kekal abadi, insya-Allah.Tajuk
khutbah pada hari ini ialah: “MENGAWAL PINTU
NAFSU.”
MUSLIMIN YANG
DIRAHMATI ALLAH,
Dalam
kekecohan kita mendengar berita anak-anak muda masa kini terbabit dalam
kegiatan maksiat yang berkaitan dengan seks bebas dan rambang maka penyelesaian
yang diajar oleh Islam perlulah diteliti untuk difahami dan diguna pakai. Apa yang nyata terbabitnya seseorang dalam perzinaan adalah
disebabkan kegagalan benteng dirinya untuk mengawal nafsu seks yang memuncak. Budaya berzina terus menjadi isu panas
kerana sering dikaitkan dengan kes-kes pelacuran, kegiatan GRO, Rumah urut, kelab-kelab
malam, video porno, laman web lucah, pengguguran kandungan, pembuangan bayi,
rasuah seks dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini dibenci oleh semua agama
tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang paling berat kepada
penzina iaitu direjam sampai mati jika pernah berkahwin dan disebat 100 kali
jika dilakukan oleh mereka yang belum pernah berkahwin. Hukuman keras yang dikenakan oleh Islam ini amat tepat
kerana perbuatan berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri manusia
serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.
Pada hari Jumaat
yang mulia ini mimbar mengingatkan bahawa pergaulan bebas adalah punca utama
penzinaan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita pada dasarnya
ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang memberi tumpuan penuh
pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati perzinaan. Begitu pula
dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno di internet, menonton
video lucah, filem yang menghairahkan, hiburan melampau adalah mendorong kepada
perzinaan. Termasuk juga mereka yang bukan muhrim berdua-duan di tempat yang
sunyi akan mendatangkan kemaksiatan pada dirinya. Firman Allah dalam surah
al-Israa’ ayat 32:
Yang
bermaksud: “Dan
janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan
yang keji dan satu jalan yang jahat.”
Kita perlu ingat
bahawa orang yang berzina akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka
Jahannam. Kepanasan api neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di
atas dunia ini. Dalam beberapa hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT
tidak menegurnya, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Ketika perbuatan
berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas yang
kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia datang
menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pinti-pintu menuju perzinaan, sedekat
itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah mungkin tidak
menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya turut terjebak
dengan amalan perzinaan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Nafsu seks adalah fitrah anugerah
Allah SWT kepada manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan
ketenangan dalam kehidupan. Bagaimana pun hawa nafsu hendaklah disalurkan
secara halal iaitu melalui perkahwinn yang sah. Hadith dari Muslim meriwayatkan
Abu Zarr al-Ghifari berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “ Sesungguhnya
setiap kali seseorang itu bertakbir adalah satu sedekah, setiap tahmid adalah
sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyeru yang makruf itu adalah sedekah,
dan menghalang yang munkar juga sedekah, melakukan hubungan kelamin suami
isteri juga adalah sedekah”. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah,“ adakah
kami mendatangi isteri-isteri kami baginya mendapat pahala?. Rasulullah
bersabda “ Tidakkah kamu sedar jika melakukan syahwat kepada yang haram itu
berdosa, maka sebaliknya bila melakukan perbuatan yang halal itu pastilah
berpahala”.
Para sahabat RA
apabila mendengar sabda Rasulullah SAW itu agak terkejut kerana mereka tidak
terfikir sebelum itu dan agak pelik juga. Lantaran itu mereka pun segera
menyusulkan pertanyaan kepada Rasulullah dengan kehairanan: “Melakukan
hubungan kelamin antara suami isteri pun diberi pahala”.Rasulullah
SAW menjelaskan dengan mudah, ‘jika seseorang melakukan zina maka mereka
berdosa, dimasukkan ke dalam neraka kerana persetubuhan haram. Tentulah tidak
adil jika tidak diberi pahala bagi seseorang yang berusaha melakukan pernikahan
yang halal bagi menghindarkan dari melakukan zina. Jika orang yang berzina itu
menerima padah masuk neraka maka logiknya orang yang melakukan persetubuhan
halal itu diberi pahala dan seterusnya memasuki syurga Allah”.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Selari dengan mengawal pintu nafsu, maka pada dasarnya
hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang
berkemampuan dan menpunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumus ke lembah
maksiat. Berdasarkan kepada pandangan ahli-ahli fiqh dan hadith Rasulullah SAW
bahawa mereka yang berkemampuan dari segi zahir dan batin hendaklah mendahulukan
perkahwinan dari ibadah yang lain kerana dikuatiri maksiat akan berlaku pada
dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai golongan pemuda!
Sesiapa yang berkemampuan untuk al-baah maka hendaklah dia berkahwin kerana
sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara
kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu
penghalang baginya daripada syahwat.”(Riwayat Bukhari dan Muslim). Menurut
pandangan Imam al-Nawawi dan al-Shafie golongan pemuda yang dimaksudkan di
dalam hadith tersebut ialah mereka yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30
tahun. Penekanan kepada usia ini kerana ianya berada pada peringkat segala-gala
memuncak kecuali kematangan. Kebiasaan pada peringkat umur ini, nafsunya
tinggi, semangatnya kuat, tenaganya berlebihan, hasrat ingin mencuba timbul di
dalam pelbagai perkara namun malangnya kebanyakan perhitungan mereka itu
singkat belaka.
Justeru berdasarkan kepada tuntutan kehidupan ini, mimbar
menyeru kepada ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang seusia sebegini memberi
perhatian kepada keperluan mereka. Ingatlah bahawa dasar hukum perkahwinan yang
ditetapkan Islam adalah tidak membebankan. Berdasarkan sirah Rasulullah SAW bahawa sekurang-kurangnya majlis walimah
atau kenduri kahwin adalah menyembelih seekor kambing, kadar mas kahwin dan
hantaran yang rendah adalah dituntut kerana membawa keberkatan dalam
perkahwinan dan perlu mengelakkan pembaziran. Begitu juga kepada pihak berkuasa
agar dipermudahkan segala urusan bagi pasangan yang telah mencukupi segala
syaratnya demi menutup segala pintu kemaksiatan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH
Mimbar ingin berpesan kepada jemaah dan umat Islam
sekalian, apabila seseorang itu berkemampuan membina rumah tangga maka hendaklah
ianya bersegera bernikah. Perkataan al-nikah itu sendiri sebenarnya
daripada lafaz yang mengandungi maksud mengharuskan bersuka-suka pasangan suami
isteri dalam bentuk yang diizinkan syarak. Justeru, tekanan perasaan keinginan
dan nafsu yang terkumpul dalam diri dapat diluahkan dengan cara yang diredai
Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang kamu
terpaut (rasa kagum) dengan seseorang perempuan lalu memberi kesan dalam
hatinya maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan menyetubuhinya kerana itu boleh
menghilangkan apa yang ada dalam dirinya”(Riwayat Muslim). Oleh itu dengan
kewujudan pasangan yang sah dapatlah memelihara larangan Allah SWT dari segala
kemungkaran yang bersangkutan dengan kemaluan dan mata serta dapat mengawal
pintu nafsu.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar
menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian terutama kepada ibu-bapa marilah
sama-sama kita mendidik anak-anak kita dengan mengamalkan cara hidup Islam yang
sebenar dengan menutup segala pintu maksiat dan kemungkaran, senantiasa memerhati
gerak geri anak-anak samaada dari segi tingkah lakunya dan pergaulan hariannya,
dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan sebagainya. Jadikanlah
hidup berkeluarga sebagai satu ibadah yang sentiasa di rahmati Allah SWT.
Ingatlah bahawa Islam mengharamkan penzinaan tetapi mengizinkan perkahwinan
secara yang sah. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah
al-Ruum, ayat 21:
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia
menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang
yang berfikir”.
No comments:
Post a Comment