Friday, February 24, 2012

SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH
(24 FEBRUARI 2012 / 2 RABIUL AKHIR 1433H)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT  dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: SATU UMMAH MEMERANGI JENAYAH ”.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah peringkat Kebangsaan pada 26 Februari 2012, mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah sekalian bahawa dadah merupakan punca utama berlakunya jenayah dan menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Menurut sumber yang diambil dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, bagi bulan Januari hingga Oktober 2011 secara purata terdapat 616 orang penagih baru di kesan dalam masa sebulan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar berlakunya jenayah seperti mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain lagi adalah berpunca daripada dadah. Ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran yang waras merupakan punca kepada berlakunya kemungkaran dan jenayah. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat 195 :
bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Berdasarkan Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23 November 2006 memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis baru seperti ekstasy dan ketamin, hukumnya adalah haram. Mimbar ingin mengingatkan bahawa kerosakkan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Sedarlah, bukan hidup penagih sahaja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan, kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan kewarasan, menghilangkan  ketawa riang dari anak-anak dan isteri serta akan di warnai dengan tangisan yang berpanjangan. Kerosakkan akibat dadah tidak terhad hanya pada seorang individu yang menjadi penagih sahaja akan tetapi kerosakan ini akan dirasai oleh ahli keluarga dan siapa yang menyayanginya. Akan ranap harapan ibu bapa, akan musnah impian saudara -mara dan akan hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya malahan akan memusnahkan sesebuah bangsa dan negara.
Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan dadah merupakan satu jenayah dan perbuatan berdosa besar kerana telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang daripada Allah SWT. Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat di dunia dan akhirat. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat berdasarkan kes-kes terhad atau oleh agensi tertentu tetapi perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah. Maka amat wajar sekali mimbar menyeru seluruh umat Islam, ibu bapa dan anggota masyarakat berusaha dengan ikhlas memerangi punca segala jenayah.  Mimbar mengingatkan bahawa pencemaran jiwa dan hilang kewarasan akal telah menggugat seseorang hamba itu dalam usaha memerangi jenayah dan kemungkaran. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir:
Maksudnya:Ingat! Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, Ingatlah! Itulah hati.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Berdasarkan hadith ini, jelas jiwa yang tercemar telah menyesatkan dan memalingkan hati manusia menjauhi Allah SWT. Satu lagi perkara yang saling kait mengait dengan hati yang menjadi penghalang  usaha ini ialah hawa nafsu. Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26:
Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,
Mimbar ingin mengingatkan kepada penegak-penegak jenayah dan pengamal dosa besar, jangan berseronok dengan perbuatan keji dan bergembira dengan kemungkaran. Setiap perbuatan keji itu ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, mereka juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut.  Firman Allah dalam surah al-Waaqi’ah, ayat 88-89:
Maksudnya:Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan.

Mereka yang dipermudahkan dan disenangkan ketika menghadapi sakaratulmaut  ialah mereka yang beriman dan beramal kebajikan secara ikhlas. Allah  SWT mengutus berpuluh-puluh malaikat rahmat untuk menghibur hatinya ketika menghembuskan nafas terakhir, berpisah meninggalkan anak isteri dan keluarganya sehingga dia menghadapi mati dengan tenang, mudah, bahagia dan gembira. Manakala bagi mereka yang terlibat dengan dosa besar dan kemungkaran menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak. Firman Allah SWT dalam surah al-Qiyamah, ayat 29:
Maksudnya:Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih.

Mereka yang yang disukarkan sakaratulmaut ialah mereka yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong dan jahat, serta bergelumang dengan dosa demi dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakarataulmaut itu, Allah SWT memperlihatkan kepada dirinya segala dosa dan kejahatan yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian. Kalau dia membunuh diperlihatkan perbuatan pembunuhan itu. Jika dia menzalimi orang, maka diperlihatkan kezaliman yang dilakukan. Jika dia mencuri, merompak, merogol akan diperlihatkan segalanya perbuatan itu di saat kematian. Masyaallah.
Muslimin Yang Dikasihi Allah,
Mengakhiri khutbah mimbar menyeru jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah semasa masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita sebagai satu ummah memerangi jenayah dan menutup segala pintunya, jadikanlah diri kita sebagai satu  ummah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan terus kekal bertakwa kepada-Nya. Sebagai ibu-bapa mimbar menyeru ruangkanlah sedikit masa dengan memberi perhatian kepada anak-anak agar hidup mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan, masalah dan disiplinkan hidup mereka dengan cara hidup yang sihat. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratul maut, nazak yang perit yang tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, marilah kita sekalian memperkukuhkan keimanan kepada Allah SWT, memperbanyakan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan berdosa dan mungkar. Marilah kita memperbanyakkan beristiqfar semuga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT. Marilah sama-sama kita merenug firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:
bermaksud: Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua,Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

No comments:

Post a Comment