Friday, February 24, 2012

MASYARAKAT PERIHATIN MEMENTINGKAN SEMUA


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 Januari 2006 / 27 Zulhijjah 1425

HIJRAH: Masyarakat Prihatin,

Mementingkan Semua



Ma’asyral Muslimin wa zumratal Mukminin Rahimakumullah,
Marilah kita tingkatkan takwa kepada Allah dengan melaksanakan segala kewajipan terhadapNya dan juga kewajipan terhadap sesama manusia. Takwa yang demikian akan melahirkan masyarakat yang aman, tertib serta membawa kesejahteraan pada semua.


Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Setelah hijarahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah yang penuh dengan pengajaran. Baginda memulakan usaha untuk membangunkan masyarakat di Madinah. Baginda telah menyatukan barisan masyarakat Islam dengan mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin. Usaha ini adalah bertujuan untuk membangunkan masyarakat Islam yang perihatin akan kebajikan saudaranya. Masyarakat yang perihatin akan keselamatan saudaranya dan masyarakat yang perihatin akan hal ehwal agamanya.

Dalam masa yang sama, Nabi Muhammad s.a.w sedar dan perihatin akan kewujudan masyarakat lain selain dari umat Islam. Ketika Nabi s.a.w. menetap di Madinah, tidak semua penduduknya beragama Islam bahkan masyarakat madinah merupakan masyarakat majmuk, yang terdiri daripada masyarakat Yahudi, Nasrani dan Arab. Nabi s.a.w telah membuat perjanjian dengan mereka untuk hidup dalam suasana aman,sejahtera dan penuh keadilan. peristiwa ini dikenali dengan nama ‘Piagam Madinah’ yang diterima oleh semua pihak yang terlibat.



Yang jelas disini ialah keprihatinan Nabi s.a.w. begitu mendalam sekali untuk menjamin kebebasan dan keselamatan setiap penduduk Madinah agar dapat hidup dengan penuh tenteram, selesa dan membangunkan masyarakat yang menegakkan kebaikan dan mencegah segala bentuk kejahatan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Begitulah usaha nabi besar kita Muhammad s.a.w. dalam membina masyarakat yang cemerlang. Masyarakat yang tidak mementingkan diri sendiri sahaja akan tetapi perihatin akan kepentingan masyrakat.  Sifat keperihatinan seperti ini amat penting dalam membina masyarakat Islam yang cemerlang. Di dalam kitab suci al-Quran terdapat ayat-ayat yang membicarakan mengenai kehidupan bermasyarakat. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya.”

Allah menjelaskan penciptaan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, bersuku dan berbangsa agar mereka saling kenal mengenal dengan lebih dekat. Seperti kata pepatah melayu “tak kenal maka tak cinta” Maka dengan kita kenal mengenal antara satu dengan yang lain akan terjalinnya sifat perihatin, peka akan keperluan saudara kita dan akan timbul lah keinginan untuk merubah nasib dan memperbaiki keadaan masyarakat kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Untuk kita memahami kepentingan sifat ini marilah kita renungkan peristiwa yang berlaku didalam masyarakat kita.

Seorang pelajar Islam  di salah sebuah sekolah nasional merupakan di antara pelajar terbaik di sekolah tersebut, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan akhlak yang baik. Namun disebalik kejayaannya dalam pelajaran dan persekolahan beliau masih lagi banyak kekurangan dari segi kerohanian.


Suatu hari beliau berjumpa seorang gurunya dan menyuarakan isi hati ingin melakukan solat, tetapi mengaku tidak tahu melakukannya. Beliau meminta diajar cara berwudhu’, cara memakai telekong dan cara mengerjakan solat.

Alhamdulillah dengan sifat keperihatinan guru ini, pelajar itu diajar dengan penuh kesabaran, Setiap kali hendak melakukan solat zohor di sekolah, pelajar itu akan mencari-cari guru tersebut untuk solat bersama. Jika tidak ada, beliau tidak solat kerana belum yakin untuk solat sendirian. Guru ini terus mendidiknya dan memberi rangsangan kepada muridnya ini untuk melakukan solat. Beliau dididik sedikit demi sedikit, akhirnya, pelajar tersebut yakin untuk solat sendirian di sekolah bahkan memahami kehendak agamanya dengan baik dan melaksanakannya dengan bijaksana.

Alangkah besarnya pahala guru yang telah mendidik anak muridnya ini. Sifat perihatin terhadap hal ehwal keagamaan anak muridnya serta merasakan dirinya bertanggungjawab untuk mendidik, walaupun bukan tugas rasminya, mampu merubah kehidupan seorang murid yang pada mulanya tidak tahu hal agamanya dan tidak tahu solat, sehingga tahu solat, pada mulanya rasa kekok dan malu untuk solat kemudian berkeyakinan untuk bersolat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Inilah sikap perihatin yang mampu mengubah masyarakat kita. Kita tidak boleh hanya berdiam diri apabila kita melihat masyarakat kita mundur terutama sekali dalam hal keagamaan mereka. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kita melihat anak-anak kita hanyut dan tidak berakhlak. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kita lihat saudara ktia tersimpang dari jalan kebenaran.

Tetapi apakah yang boleh kita lakukan? Apakah cukup kita merasakan perihatin dan tidak melakukan apa-apa? Apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk kebaikan masyarakat kita?

Dalam hal ini, Allah s.w.t telah menyifatkan bahawa umat yang cemerlang ialah umat yang mengamalkan “amar ma’aruf dan nahi mungkar” atau mengajak pada kebaikan dan menghalang kemungkaran” Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 110:

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

Maka perkara pertama yang boleh kita melakukan ialah mengamalkan Amr ma’aruf dan nahi mungkar. Kita menggalakkan masyarakat kita untuk melakukan segala macam kebaikan. Dalam masa yang sama kita perlu juga menegah segala kemungkaran.

Dalam usaha kita untuk  mengamalkan amar ma’aruf nahi mungkar kita perlu bijak dalam melaksanakannya. Apa yang dimaksudkan disini ialah kita sebagai masyarakat Islam cemerlang bukan sahaja perihatin dengan keadaan akan tetapi perlu bijak dalam menangani masalah kita.

Seperti kisah guru yang mendidik anak muridnya solat. Beliau dengan perlahan dan dengan menunjukkan contoh tauladan mendidik muridnya sehingga berjaya. Ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Al-Nahl ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk”.

Begitulah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang menyumbang pada kebaikan untuk manusia sejagat. Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang  bijak serta berakhlak mulia. Masyarakat perihatin ialah masyarakat yang memahami kehendak agamanya serta memaparkan Islam yang sebenar, Islam yang membawa kesejahteraan pada semua. 

Semoga dengan kedatangan tahun hijrah yang baru ini kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri dan menyumbang seberapa yang mampu untuk kebaikan agama, bangsa dan negara.


  




No comments:

Post a Comment